PETALING JAYA: Perancangan Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk memperkuat pasukan pada jendela perpindahan Januari depan mungkin berdepan masalah selepas dikenakan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Sekatan yang berkuat kuasa sejak 14 Oktober lalu itu dikesan menerusi semakan di pangkalan data rasmi FIFA, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai langkah yang perlu diambil pengurusan kedua-dua pasukan Liga Super itu bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Situasi itu perlu diberi perhatian memandangkan jendela perpindahan Januari depan bakal membuka peluang kepada kelab untuk memperkemaskan skuad masing-masing bagi menghadapi baki saingan musim ini.









