Kuala Lumpur: Bukan tunggakan gaji, sebaliknya tuntutan bayaran faedah atau bunga dipercayai menjadi punca Kuala Lumpur City FC (KL City) kembali dikenakan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Sumber dalaman kelab yang boleh dipercayai mengesahkan tunggakan gaji bekas penyerang import dari Filipina, Patrick Reichelt sudah dilangsaikan, namun tuntutan terbaharu membabitkan bayaran faedah yang masih perlu dijelaskan.
"Tunggakan gaji kita dah langsaikan, tapi yang dia tuntut kali ini adalah 'interest'," kata sumber berkenaan.
Perkembangan itu memberi gambaran berbeza terhadap isu sekatan yang kembali membelenggu The City Boys selepas nama kelab berkenaan dikesan dalam pangkalan data sekatan perpindahan FIFA sejak 15 Oktober lalu.









