SELANGOR FC semakin serius menghantar amaran dalam perebutan kejuaraan Liga Super apabila melakar kemenangan kelima berturut-turut selepas menundukkan Penang FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon mengumpul 15 mata untuk menyamai kutipan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), sekali gus berada di tangga kedua liga menerusi kelebihan perbezaan jaringan.

Penyerang SFC, Chrigor Moraes menjadi watak penting apabila meledak dua gol pada minit ke-11 dan minit ke-51 sebelum Ahmad Zikri Khalili melengkapkan kemenangan tuan rumah pada penghujung perlawanan.

Penang FC cuba bangkit menerusi jaringan Stefano Brundo pada minit ke-69, namun gagal menghalang SFC daripada meneruskan rentak cemerlang.