Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) dikenakan levi pentadbiran kira-kira RM5,400 oleh Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas gagal melepasi penilaian pematuhan mandatori di bawah Peraturan FIFA Clearing House.
Hukuman itu membabitkan levi sebanyak 2.5 peratus ke atas 31 arahan pembayaran berasingan, susulan kelewatan pembayaran pampasan latihan kepada kelab pembangunan pemain berjumlah €44,878.68 (RM215,000).
Menurut dokumen kes, 31 arahan pembayaran itu membabitkan perpindahan penyerang Colombia, Jorge Leonardo Obregon dari kelab Croatia, HNK Rijeka, serta penyerang kelahiran Brazil, Joao Figueiredo dari kelab Turkiye, RAMS Basaksehir.
Figueiredo sebelum ini turut menjadi antara tujuh pemain yang dikenakan penggantungan oleh FIFA dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam kes berprofil tinggi berkaitan proses naturalisasi yang membabitkan dokumen keturunan palsu.








