Rotterdam, Belanda: Gimnas Jepun, Daiki Hashimoto, berjaya mempertahankan gelaran juara acara individu keseluruhan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Rotterdam, mengatasi Yang Haonan dari China dan Joe Fraser dari Britain.

Selepas membantu Jepun meraih emas berpasukan sehari sebelumnya, atlet berusia 25 tahun dari Narita itu merangkul gelaran dunia ketujuhnya di Belanda, selain muncul juara acara individu keseluruhan buat kali keempat berturut-turut.

Hashimoto menjuarai acara itu dengan kelebihan selesa 1.799 mata mengatasi Haonan. Perbezaan mata itu adalah yang terbesar dalam acara individu seluruh alat lelaki pada Sukan Olimpik atau Kejohanan Dunia dalam tempoh 13 tahun.

Hashimoto membuktikan dirinya sebagai pelapis kepada seorang lagi gimnas Jepun, Kohei Uchimura, yang terkenal dengan aksi memukau apabila memenangi enam gelaran dunia berturut-turut dalam acara individu keseluruhan dari 2009 hingga 2015, satu rekod dalam sejarah kejohanan itu.