Istanbul: Indonesia merekodkan sebanyak 333,470 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah, menurut Kementerian Kesihatan negara itu pada Khamis.

Pengarah Kesihatan Alam Sekitar kementerian itu, Then Suyanti berkata jumlah kes harian masih tinggi dengan 4,522 kes baharu dilaporkan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita Antara.

Beliau berkata bacaan terkini Indeks Pencemaran Udara menunjukkan kualiti udara di beberapa kawasan telah mencapai tahap berbahaya, khususnya di enam wilayah iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Tengah.

Suyanti berkata pendedahan kepada asap kebakaran hutan yang mengandungi zarah halus seperti PM2.5, karbon monoksida, nitrogen dioksida dan sebatian organik lain boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk jangkitan saluran pernafasan akut, asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), kerengsaan mata dan kulit serta kesan kesihatan lain yang menjejaskan pelbagai sistem tubuh.