KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Global Vision Lab Sdn Bhd (GVL) sedang meneroka cadangan pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Perak dengan kapasiti kuasa dirancang melebihi 100 megawatt (MW).

Cadangan pembangunan itu bertujuan memenuhi peningkatan permintaan terhadap infrastruktur pengkomputeran AI, pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) dan aplikasi berasaskan unit pemprosesan grafik (GPU) di Malaysia serta rantau ini.

Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq, berkata sebagai langkah awal, kedua-dua pihak sudah menandatangani Perjanjian Kerahsiaan (NDA) dan Surat Persetujuan bagi membolehkan pertukaran maklumat serta pelaksanaan kajian awal merangkumi aspek teknikal, infrastruktur dan potensi komersial projek berkenaan.