PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh baharu pendengaran rayuan seorang bekas majistret yang mencabar hukuman penjara 12 tahun dan denda RM1.05 juta terhadapnya selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada 2019.

Penangguhan berkenaan dibuat selepas peguam, Nor Shahid Abd Malik yang mewakili perayu, Mohamad Amin Shahul Hamid, 45, dilihat gagal menjawab beberapa soalan dikemukakan panel hakim mengenai isu-isu yang dibangkit bagi membuktikan sabitan dan hukuman ke atas anak guamnya itu tidak selamat.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy, membenarkan permohonan penangguhan itu bagi memberi peluang pihak pembelaan membuat persediaan sewajarnya.