JOHOR BAHRU: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) perlu mempergiat usaha membantu syarikat Bumiputera di Johor meningkatkan keupayaan perniagaan, khususnya dalam merebut peluang pertumbuhan ekonomi susulan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata sokongan itu bukan aspek pembiayaan semata-mata, malah perlu merangkumi bimbingan serta pembukaan akses pasaran kepada syarikat Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan sehingga berupaya menembusi pasaran saham.
Beliau berkata, inisiatif seperti 'queen bee' yang bertujuan menarik pelaburan strategik perlu disusuli usaha memastikan usahawan tempatan termasuk Bumiputera memainkan peranan dalam rantaian bekalan dan perkhidmatan.








