MELAKA - Pembangunan Klebang Walk Fasa 2 antara perkara yang akan diberikan perhatian oleh calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong bagi merancakkan ekonomi dan sektor pelancongan setempat sekiranya diberi mandat meneruskan khidmat bagi penggal ketiga.Pengerusi MCA Melaka itu berkata, cadangan berkenaan merupakan antara 15 manifesto yang ditawarkan kepada pengundi menerusi tiga teras utama iaitu infrastruktur dan pembangunan; ekonomi dan peluang; serta kesejahteraan dan masa depan komuniti.Menurutnya, pembangunan Klebang Walk Fasa 2 akan memberi nilai tambah kepada kawasan berkenaan yang kini semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan popular di Melaka."Klebang Walk Fasa 1 menerima sambutan menggalakkan dengan kawasan itu mencatatkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung sepanjang Bazar Ramadan setiap tahun selain menempatkan lebih 200 peniaga kecil."Pada hari biasa pula, kawasan berkenaan mempunyai kira-kira 400 peniaga yang menjalankan perniagaan di situ," katanya pada majlis pelancaran manifesto BN DUN Klebang di bilik gerakan pada Selasa.Katanya, cadangan pembangunan fasa kedua itu melibatkan kawasan berhampiran Klebang Walk dengan penyediaan laluan pejalan kaki dan basikal supaya ia bukan sahaja menjadi lokasi membeli-belah, malah tempat untuk beriadah, bersukan dan menjalankan aktiviti keluarga."Kita juga mahu menambah baik kawasan pantai dari segi pencahayaan dan reka bentuk supaya mempunyai identiti tersendiri yang boleh dikenali sebagai gaya Klebang."Apabila ada identiti tersendiri, ia akan menjadikan Klebang Walk lebih menonjol dan menarik lebih ramai pelancong serta pengunjung," katanya.Mengulas isu liputan telefon dan internet yang turut dibangkitkan di kawasan berkenaan, Ban Hong berkata, perkara itu terus diberi perhatian kerajaan negeri menerusi penambahbaikan secara berperingkat dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)."Dari semasa ke semasa, kita menambah baik liputan dan turut menambah menara telekomunikasi."Begitu juga di kawasan ini dan saya fikir perkara ini akan terus diberi perhatian kerana kawasan ini merupakan sebahagian daripada zon ekonomi, Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ)."Jadi, saya fikir perkara ini akan dapat diselesaikan secara berperingkat dan kita akan terus memberi perhatian terhadap liputan 5G dan internet," katanya.Dalam pada itu, beliau berharap pembangunan yang dirancang itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat selain membuka lebih banyak peluang perniagaan serta mempromosikan produk pelancongan tempatan menerusi pembangunan sektor agropelancongan dan ekopelancongan.Pada masa sama, beliau mahu menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan."Antara pelaburan yang sudah memasuki kawasan ini termasuk hotel lima bintang Berjaya International Hotel dan sebuah kilang pembinaan kapal, Enstek of Melaka Shipyard yang terletak di SM-