KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerima aduan berhubung dakwaan pencampuran minyak sawit dari Indonesia dengan minyak sawit tempatan di atas kapal MT Eunice, yang dikatakan berlaku di Pelabuhan Klang pada 30 September lalu.
Perkara itu dinyatakan dalam surat MPOB bertarikh 22 Oktober lalu kepada Maritime Network Sdn Bhd, yang merekodkan aduan berkenaan, yang ditandatangani Ketua Unit Penguatkuasaan MPOB, Wan Yasin Wan Daud.
Menurut rekod penerimaan aduan yang turut dilampirkan, Maritime Network mengemukakan aduan pada 19 Okt berhubung dakwaan aktiviti pencampuran minyak sawit membabitkan kapal MT Eunice.
Berdasarkan aduan itu, kapal berkenaan membawa minyak sawit olein bertapis yang diisytiharkan berasal dari Indonesia, sebelum didakwa dicampurkan dengan minyak sawit olein mentah Malaysia di Pelabuhan Klang.









