KUALA LUMPUR: Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, yang putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak lelaki bersenjatakan parang di Kepong pada 11 November lalu, kini mula merasakan jarinya selepas menjalani pembedahan menyambung semula tangan itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin, berkata keadaan anggota berkenaan menunjukkan perkembangan positif berdasarkan maklumat doktor pakar yang merawatnya.
"Alhamdulillah, berdasarkan maklumat daripada doktor pakar yang merawatnya, keadaan beliau menunjukkan perkembangan positif.
"Keadaannya stabil walaupun masih kritikal. Menurut doktor pakar, tempoh tiga hingga empat minggu diperlukan untuk pemulihan urat dan tulang, namun bukan bermakna beliau akan pulih sepenuhnya dalam tempoh itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan melawat Thierry di HKL, hari ini.









