Anggota polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di Kepong pada Rabu lepas, kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mampu menggerakkan beberapa jari pada tangan yang cedera.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkelfy Ahmad dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan kejayaan pembedahan menyambung semula pergelangan tangan anggota berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa pembedahan di HKL untuk menyambung semula tangan anggota polis itu telah berjaya dan memakan masa tujuh jam.

"Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa pakar pembedahan di HKL telah berjaya melaksanakan tugas ini, dan anggota polis tersebut menunjukkan perkembangan yang positif dengan keupayaan menggerakkan beberapa jari dari tangan yang terkesan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.