WASHINGTON – Sebilah pedang cahaya (lightsabre) daripada siri filem Star Wars dijual pada harga hampir US$5 juta (RM20.4 juta) dalam satu lelongan di Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik kenyataan akhbar Heritage Auctions pada Khamis.

Menurut rumah lelongan itu, harga berkenaan merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan di seluruh dunia bagi barangan prop daripada filem Star Wars.

Pedang cahaya itu digunakan oleh Darth Vader, watak penjahat ikonik yang dilakonkan oleh David Prowse, dalam dua filem iaitu The Empire Strikes Back (1980) dan Return of the Jedi (1983).

Menurut rumah lelongan itu, pedang berkenaan mempunyai kesan penggunaan yang jelas, termasuk bahagian yang koyak dan calar, membuktikan bahawa ia pernah digunakan di lokasi penggambaran.