KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan pemantauan rapi terhadap perkembangan penyambungan semula tangan seorang anggota polis akibat serangan pada Rabu lepas.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K. R. Nair berkata anggota polis berkenaan dirujuk ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan kepakaran, sebelum segera dibawa ke Dewan Bedah Utama bagi pembedahan tersebut selepas pemeriksaan dan penilaian teliti dilakukan oleh pasukan pakar.
Beliau berkata, pembedahan selama lapan jam itu melibatkan penyambungan semula salur darah dan struktur saraf yang tercedera, selain pemulihan struktur anatomi tangan yang terlibat.
“Pembedahan itu diketuai Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL Dr R. Allan Ravi dan Dr Aziz Sabbir Husain dengan kerjasama seluruh pasukan Unit Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL serta pasukan anestesiologi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.








