PUTRAJAYA - Tangan kanan seorang anggota polis yang terputus ditetak penjenayah warga asing berjaya disambung semula menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.Kementerian Kesihatan memaklumkan, pembedahan kompleks yang mengambil masa kira-kira lapan jam itu melibatkan kepakaran pasukan Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL."Beliau telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan kepakaran dan dibawa segera ke Dewan Bedah Utama bagi menjalani pembedahan penyambungan semula tangan," katanya pada Khamis.Ujar KKM, pembedahan tersebut telah diketuai oleh Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain, Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL, dengan kerjasama seluruh pasukan Unit Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL."Pembedahan bermula pada jam 10 malam dan mengambil masa kira-kira lapan jam untuk diselesaikan."Prosedur kompleks ini melibatkan penggunaan mikroskop pembedahan bagi membolehkan penyambungan semula salur darah dan struktur saraf yang tercedera, selain pemulihan struktur anatomi tangan yang terlibat," jelas kementerian itu.Terdahulu media melaporkan seorang anggota polis yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang.Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu berlaku di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.Kes berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengecam keras perbuatan tersebut.Dalam pada itu, KKM menegaskan kes berkenaan merupakan satu prosedur pembedahan yang amat kompleks, memerlukan kepakaran khusus, kemahiran mikrosurgeri yang tinggi serta kerjasama erat antara pelbagai disiplin kepakaran bagi memastikan rawatan yang menyeluruh dan optimum."Kami berharap agar pesakit menunjukkan perkembangan pemulihan yang baik dan seterusnya mencapai tahap pemulihan fungsi tangan yang seoptimum mungkin," katanya.