KUALA LUMPUR – Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, yang putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak lelaki bersenjatakan parang kini menunjukkan perkembangan positif apabila mula dapat merasakan jarinya selepas menjalani pembedahan menyambung semula tangan.
Perkembangan itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin yang melawat anggota berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
“Alhamdulillah, berdasarkan maklumat daripada doktor pakar yang merawatnya, keadaan beliau menunjukkan perkembangan positif.
“Keadaannya stabil walaupun masih kritikal. Menurut doktor pakar, tempoh tiga hingga empat minggu diperlukan untuk pemulihan urat dan tulang, namun bukan bermakna beliau akan pulih sepenuhnya dalam tempoh itu,” katanya, di sini hari ini.









