KUALA LUMPUR: Pemilik bengkel kereta yang mengamuk bersenjatakan parang di sebuah bengkel motosikal di Wangsa Maju, di sini Sabtu lalu, dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim Dr Azrol Abdullah memerintahkan hukuman penjara terhadap Lim Kok Yong, 36, berkuat kuasa tarikh dia ditahan kelmarin selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya tanpa kebenaran mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Tertuduh juga didakwa di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Heng Yi Min atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan empat motosikal pelanggan, pintu pejabat bengkel dan sistem kad akses menggunakan parang serta dua tukul besi, sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM3,000.