Perhimpunan peminat dan pemilik kenderaan Perodua menerusi Perodua Fest 2026 menjadi platform menghimpunkan komuniti automotif dari seluruh negara dalam satu acara yang mengetengahkan kreativiti, pengubahsuaian kenderaan dan aktiviti permotoran.
Penganjuran acara itu bukan sekadar memberi ruang kepada pemilik mempamerkan kenderaan masing-masing, malah membuka peluang kepada komuniti berkongsi minat, pengalaman serta bertukar pandangan berkaitan dunia automotif.
Penganjur Perodua Fest 2026, Shahrim Azrul yang lebih dikenali sebagai Uncle Shah di media sosial berkata, acara itu dianjurkan bagi menyatukan peminat dan pemilik kenderaan Perodua dari seluruh Malaysia.
"Objektif kami menganjurkan Perodua Fest untuk menghimpunkan peminat dan pemilik Perodua daripada model terawal sehingga terkini supaya mereka dapat berkumpul, berkongsi minat serta bertukar pandangan mengenai pengubahsuaian kenderaan," katanya.










