PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal memulakan lembaran baharu menerusi penganjuran Kongres Luar Biasa pada 26 November ini selepas melalui tempoh pergolakan yang menyaksikan keahliannya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digantung.

Perkembangan itu menyaksikan lima calon bagi mengisi jawatan utama badan induk berkenaan bakal disahkan tanpa pertandingan selepas proses penyerahan borang pencalonan berakhir pada 5 November lalu dan tapisan calon selesai dijalankan.

Mereka ialah Datuk Seri Rosmadi Ismail bagi jawatan Presiden, Azman Ibrahim (Timbalan Presiden), manakala tiga kerusi Naib Presiden bakal diisi Amin Zubair Muhamad, Khabir Sufi Burhanuddin dan Mohd Shukry Pauzi.