KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King, kini hanya dipisahkan satu kemenangan daripada meraih gelaran kedua sejak digandingkan apabila mara ke final Kumamoto Masters di Jepun, semalam.

Kejayaan itu membuka peluang buat pasangan ranking ke-57 dunia berkenaan mengulangi kejayaan menjuarai Terbuka Arctic pada bulan lalu, yang juga merupakan kejohanan kompetitif pertama mereka sejak digandingkan.

Hasrat tersebut semakin hampir direalisasikan selepas Aaron-Roy King menyingkirkan pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang menghuni ranking ke-14 dunia, 21-18, 21-18 pada aksi separuh akhir di Gimnasium Kumamoto.

Kemenangan itu hadir menerusi persembahan agresif dengan kedua-dua pemain tidak memberi ruang mudah kepada lawan, selain mengekalkan fokus ketika berdepan tekanan dalam perlawanan sengit.