PRESTASI beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Yap Roy King terus melonjak pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun apabila berjaya meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto semalam, pasangan No.57 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-18, 21-18 ke atas beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Bertemu pasangan yang menghuni ranking lebih tinggi di kedudukan ke-14 dunia, Aaron-Roy King tidak menunjukkan rasa gerun apabila menampilkan corak permainan cukup agresif menerusi serangan demi serangan dilakukan.

Perlawanan itu berlangsung dalam keadaan cukup sengit apabila kedua-dua beregu masing-masing enggan menyerah kalah sehingga membuatkan permainan menjadi menarik dan mendapat tepukan gemuruh penonton.