MUTU pengadilan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan China di Guangdong pada Sabtu mula menjadi perdebatan apabila beberapa keputusan pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyung-jin mengundang persoalan.Kekalahan 0-2 Harimau Malaya kepada tuan rumah mungkin sudah menjadi keputusan di atas padang, namun perhatian turut terarah kepada cara perlawanan itu dikendalikan, terutama membabitkan beberapa insiden yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong bola sepak negara.Antara yang menjadi perhatian ialah beberapa kekasaran terhadap pemain Malaysia, termasuk Dion Cools dan Ramadhan Saifullah yang tidak membawa kepada tindakan pengadil seperti diharapkan.Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi Hyung-jin dalam menilai insiden kekasaran, lebih-lebih lagi apabila beberapa keputusan lain dalam perlawanan sama mencetuskan perdebatan.VAR turut jadi perhatianKontroversi semakin memuncak apabila jaringan Fergus Tierney pada minit ke-77 dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).Keputusan itu dipersoalkan apabila terdapat dakwaan bahawa sentuhan terakhir sebelum bola sampai kepada Tierney dilakukan pemain China, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai asas keputusan ofsaid berkenaan.Lebih mengecewakan, Tierney kemudian dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-90 sebelum diperintahkan keluar padang, sekali gus menyaksikan Malaysia menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.Keputusan itu turut mengundang reaksi penyokong yang mempersoalkan tindakan pengadil ketika penyerang negara berkenaan berdepan situasi kekasaran.Bagaimanapun, perlu diakui bukan semua keputusan Hyung-jin memihak kepada China apabila sepakan penalti yang diberikan kepada tuan rumah pada minit ketiga dibatalkan selepas semakan VAR.Konsistensi perlu diberi perhatianDalam perlawanan kompetitif, pengadil mempunyai tanggungjawab memastikan undang-undang permainan dikuatkuasakan secara konsisten tanpa mengira kedudukan, reputasi atau status pasukan yang bertanding.Penggunaan VAR pula sepatutnya membantu mengurangkan kesilapan dalam keputusan penting, bukannya menambahkan kekeliruan apabila sesuatu insiden tidak dijelaskan dengan meyakinkan.Justeru, insiden di Guangdong wajar dijadikan ruang untuk menilai kembali mutu pengadilan termasuk bagaimana pengadil membuat keputusan dalam situasi kekasaran, ofsaid dan tindakan disiplin.Harimau Malaya mungkin perlu menerima kekalahan itu sebagai sebahagian daripada proses membina pasukan, namun persoalan mengenai mutu pengadilan juga tidak seharusnya diketepikan.Ini kerana bola sepak memerlukan keputusan yang adil dan konsisten supaya tumpuan kekal kepada kemampuan kedua-dua pasukan, bukan kontroversi di sebalik wisel pengadil.