KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini berdepan detik pilu apabila abang sulungnya, Ahmad Musyaiful Mokhtar, meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.
Allahyarham Ahmad Musyaiful, 51, sebelum itu dikejarkan ke hospital selepas rebah ketika menghadiri satu acara membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya.
Rita ketika mengesahkan berita duka itu berkata, dia menerima perkhabaran berkenaan daripada anak saudaranya awal pagi tadi.
Mengakui pemergian insan tersayang itu satu kehilangan besar buat dirinya dan keluarga, Rita turut memohon orang ramai memberikan ruang kepada mereka untuk melalui saat sukar berkenaan.










