KUALA LUMPUR – Bintang kelab Scotland, Ross County, Richard Chin muncul wira Harimau Malaya apabila meledak dua gol untuk membantu skuad negara menewaskan Yemen 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, sebentar tadi.
Peluang diturunkan dalam kesebelasan utama dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Chin apabila dua kali menghukum kesilapan penjaga gol lawan, Abdullah Abdulhakim Hasan Mohammed Al-Sadi.
Lebih manis, dua jaringan tersebut bukan sahaja menjadi gol sulung Chin bersama Harimau Malaya, malah memastikan skuad negara bangkit semula selepas tewas 0-2 kepada China, Sabtu lalu.
Harimau Malaya memulakan perlawanan dengan cukup positif apabila memperoleh gol pertama seawal minit keenam menerusi rembatan Chin yang bijak mengambil kesempatan terhadap bola muntah selepas Abdullah Abdulhakim gagal menangkap bola dengan kemas.










