KUALA LUMPUR: Citaglobal Berhad (Citaglobal), melalui anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal New Energy Sdn. Bhd. (CGNE), telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB GENCO) dan TIZA AI Sdn. Bhd. (TIZA AI).

Melalui MoU ini, CGNE dan TNB GENCO akan bersama-sama membangunkan penyelesaian bekalan elektrik khusus di luar grid bagi cadangan Taman Pusat Data AI dan Infrastruktur Digital (Taman Pusat Data AI), yang akan dibangunkan oleh TIZA AI di atas tanah milik Citaglobal di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang.

TIZA AI merupakan pemegang kelulusan Data Centre Task Force (DCTF) bagi Taman Pusat Data AI tersebut.

Kelulusan yang dimaklumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada 7 September 2026 itu mensyaratkan keperluan elektrik Taman Pusat Data AI sehingga 1,300 megawatt (“MW”) dipenuhi melalui bekalan luar grid.