PETALING JAYA: Harimau Malaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Yaman dalam aksi persahabatan antarabangsa menerusi persembahan meyakinkan yang menyaksikan Richard Chin muncul wira selepas meledak dua gol.
Malaysia memulakan perlawanan dengan cukup positif apabila berjaya mendapatkan gol pendahuluan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Chin yang memanfaatkan bola muntah tepisan penjaga gol Yaman, Abdulhakim Hassan.
Jaringan awal itu memberikan suntikan semangat kepada barisan pemain negara untuk terus meningkatkan intensiti permainan dalam usaha menguasai perlawanan, namun tiada tambahan jaringan pada babak pertama untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Kelebihan satu gol itu menyaksikan Harimau Malaya tampil lebih berkeyakinan dalam mengatur gerakan serangan selain mengawal rentak permainan pada babak kedua.










