Kuala Pilah: Pelakon Nad Zainal berkongsi kisah pengorbanan dirinya apabila menggunakan wang simpanan bagi menghadiri sesi uji lakonan ketika masih menuntut di universiti demi mengejar impian bergelar anak seni.

Nad atau nama sebenar, Farah Nadiah Zainal Abidin, 36, berkata minat mendalam dalam bidang lakonan mendorongnya mencari peluang meskipun dinasihati oleh pensyarahnya supaya memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dahulu.

"Ketika zaman belajar, saya menabung supaya boleh pergi uji bakat. Walaupun pensyarah membantah dan tidak membenarkan saya berlakon disebabkan masih belajar, saya tetap melanggar peraturan.

"Apa pun yang berlaku, saya pilih untuk tetap mencari peluang supaya dapat berlakon," katanya.