KUALA PILAH: Demi mengejar impian bergelar pelakon, Nad Zainal sanggup mengetepikan larangan pensyarah, malah, menggunakan wang simpanan sendiri untuk menghadiri sesi uji bakat ketika masih menuntut di universiti.
Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadiah Zainal Abidin, 36, berkata minat mendalam terhadap bidang lakonan mendorongnya untuk terus mencari peluang biarpun terpaksa berdepan tentangan pengurusan universiti yang mahu dia memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajian.
"Ketika masih belajar, saya menabung supaya ada wang untuk menghadiri uji bakat. Walaupun pensyarah membantah dan tidak benarkan saya berlakon kerana masih belajar, saya tetap melanggar peraturan.
"Apa pun yang berlaku, saya pilih untuk terus mencari peluang kerana memang mahu berlakon," katanya berkongsi pengalaman ketika menjadi panel program Pesona Sinema sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah, di sini, hari ini.









