KUALA LUMPUR: Malaysia akan menerima empat helikopter jenis H225M CSAR menerusi Fasa 1 bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan meriam artileri ringan 105 milimeter (mm) untuk Tentera Darat.
Perolehan itu sebahagian daripada pengukuhan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Perancis hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Perancis, Emmanuel Marcron.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan sudah menyerahkan surat hasrat (LoI) kepada Airbus Helicopters menerusi kerjasama yang turut melibatkan program naik taraf kapal selam kelas Scorpène milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sistem meriam artileri ringan.
"Kementerian sudah menyerahkan LoI bagi cadangan perolehan empat helikopter CSAR menerusi Fasa 1 untuk TUDM. Cadangan perolehan itu adalah sebahagian Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) bertujuan memperkukuh keupayaan operasi udara, termasuk operasi khas, bantuan kemanusiaan serta pengurusan bencana.








