Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara Eogene Ewe mahu menjadikan kejayaan cemerlang rakan seangkatan di peringkat antarabangsa sebagai sumber inspirasi dalam usaha meningkatkan prestasi dan merapatkan jurang dengan bintang baharu badminton dunia.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakui kemajuan rakan seangkatannya, termasuk juara dunia dan pemain nombor enam dunia dari Perancis Alex Lanier serta pemain nombor 10 dunia dari Indonesia Alwi Farhan, yang menunjukkan perkembangan sangat memberangsangkan, sekali gus memberikan motivasi tambahan kepadanya untuk terus memperbaiki prestasi.

"Saya cuba mengejar mereka dan perlu meningkatkan prestasi bermula sekarang. Mereka sememangnya sangat hebat ketika ini," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini hari ini.