KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menuntut kerajaan mendedahkan formula pengiraan, asas penilaian dan minit kelulusan premium pembaharuan pajakan tapak Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) yang dikurangkan daripada RM4.67 juta kepada hanya RM1,000.
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, berkata pengurangan hampir 100 peratus bagi pembaharuan pajakan selama 99 tahun itu menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan tatakelola dan pengurusan hasil kerajaan.
"Jangan berselindung di sebalik budi bicara. Kementerian mesti mendedahkan pekeliling, formula pengiraan rasmi dan asas penilaian yang membolehkan nilai RM4.67 juta menyusut menjadi RM1,000 selepas kegunaan tanah ditukar daripada komersial kepada institusi," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.








