WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) membatalkan dasar baharu pentadbiran Presiden, Donald Trump yang berhasrat mengenakan had tempoh lebih ketat terhadap pelajar serta wartawan asing untuk menyambung pengajian atau bekerja di negara itu.

​Hakim Daerah, Dennis Saylor dalam perintah penghakimannya menyifatkan dasar berkenaan sebagai sewenang-wenangnya, tidak munasabah, menyalahgunakan budi bicara serta bertentangan dengan lunas undang-undang sedia ada.

​Peraturan visa baharu tersebut sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa pada September lalu namun ditangguhkan sementara oleh Saylor, iaitu satu keputusan yang telah pun dirayu oleh pentadbiran Trump di mahkamah lebih tinggi.