HULU PERAK: Usaha mendekati masyarakat setempat menerusi pendekatan pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Santuni Menteri Pendidikan di Kampung Kuak Hulu, di sini.
Program berkenaan menjadi platform untuk menyantuni penduduk setempat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang turut membuka ruang kepada interaksi lebih dekat antara kepimpinan pendidikan dengan komuniti.
Yayasan Didik Negara (YDN) turut mengambil bahagian dalam menjayakan program itu sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan yayasan berkenaan untuk mendekati masyarakat serta mengenal pasti keperluan komuniti, khususnya dalam aspek pendidikan.
Penglibatan YDN juga mencerminkan usaha memperluas manfaat pendidikan kepada golongan yang memerlukan, selain memastikan inisiatif pendidikan dapat dirasai oleh masyarakat di pelbagai lapisan, termasuk komuniti luar bandar.









