KOTA BHARU: Nasi Kerabu Kelantan kini diiktiraf sebagai Cap Kolektif bagi melindungi identiti serta memperkukuh nilai komersial makanan warisan berkenaan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).
Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan didaftarkan secara rasmi pada 29 Julai lalu bagi membolehkan pengusaha memenuhi peraturan penggunaan ditetapkan menggunakan satu identiti jenama bersama di bawah Persatuan Pengusaha Makanan Kelantan (PERMEKA).
Katanya, inisiatif Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan bertujuan mengangkat martabat hidangan tradisional itu yang diiktiraf sebagai objek warisan tidak ketara kebangsaan, dengan mentransformasikannya daripada sekadar makanan warisan kepada identiti jenama berdaftar serta mempunyai nilai komersial lebih tinggi.









