KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited membantu peminjam menguruskan bayaran balik pinjaman pendidikan dengan lebih mudah dan teratur menerusi penganjuran Bulan Mesra Peminjam (BMP) PTPTN 2026 bermula 1 November hingga 15 Disember ini.
PTPTN dalam satu kenyataan hari ini berkata, peminjam khususnya yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman digalakkan untuk tampil berunding dengan PTPTN bagi mengenal pasti kaedah bayaran balik yang bersesuaian.
"Antara kemudahan ditawarkan ialah rundingan dan khidmat nasihat kewangan di kaunter pejabat PTPTN Negeri dan cawangan sempena Kempen Lestari Pendidikan melalui penstrukturan semula pinjaman.
"Selain itu, peminjam juga ditawarkan bayaran serendah 20 peratus atau RM1,000 daripada keseluruhan tunggakan yang mana lebih tinggi bagi tujuan penstrukturan semula pinjaman atau penggabungan pinjaman dan pertukaran Ujrah," katanya.








