KUALA SELANGOR: Penduduk Kampung Batu 7 dan Batu 8, Ijok, di sini mengakui letih dan jemu dengan banjir yang kerap melanda kediaman mereka, apatah lagi pihak bertanggungjawab tidak memberi penyelesaian muktamad untuk mengatasi masalah itu.
Juhari Abd Hamid, 52, berkata dia sekeluarga serik dengan banjir berlaku setiap tahun terutamanya banjir termenung yang mengambil masa lama untuk surut.
"Penduduk bukan anak kecil yang gembira setiap kali banjir datang. Sejak kebelakangan ini kami sentiasa berwaspada kerana cuaca hujan tidak menentu.
"Tahun lalu sangat sukar dilupakan kerana rumah dinaiki air sehingga sebahagian besar perabot dan barang elektrik rosak.









