SHAH ALAM – Penduduk di Jalan Resak dan Merbau di Kampung Melayu Subang di sini merintih mereka kini kepenatan dan menanggung banyak kerugian apabila kediaman mereka dilanda banjir empat kali hanya dalam tempoh sembilan hari sejak awal bulan ini.

Banjir berulang setiap kali hujan lebat itu didakwa berpunca daripada pembangunan pesat di sekitar kawasan itu menyebabkan sungai berhampiran gagal menampung aliran air hujan.

Rata-rata mereka yang ditemui mengatakan: “Kami sudah penat. Bulan ini sahaja, Kampung Melayu Subang sudah empat kali dilanda banjir.”

Mereka turut mempersoalkan keberkesanan sistem saliran sedia ada selain mendakwa terdapat projek pembangunan yang menggunakan sistem saliran melalui kawasan berkenaan.