MELAKA – Pembangunan Pantai Puteri, di sini menjadi pemangkin ekonomi komuniti setempat menerusi penyediaan kemudahan rekreasi dan perniagaan lebih tersusun, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan itu kepada pengunjung.
Perancangan berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan awam, malah memastikan kira-kira 150 peniaga sedia ada terus mempunyai peluang menjana pendapatan selepas kerja penambakan pantai selesai.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, kerja penambakan pantai dijangka siap menjelang akhir tahun ini sebelum penyusunan semula gerai dilakukan.
Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, semua 150 peniaga akan diberikan ruang untuk meneruskan perniagaan di lokasi lebih teratur sebagai sebahagian daripada usaha mengindahkan kawasan Pantai Puteri.










