GUA MUSANG: Polis menahan seorang lelaki disyaki membawa tujuh individu dipercayai warga Myanmar tanpa dokumen perjalanan sah dalam sebuah kenderaan di Kilometer 10, Jalan Sungai Terah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata mereka ditahan jam 10.50 pagi oleh sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.
Katanya, polis menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dipandu seorang lelaki dengan tujuh penumpang dipercayai warga asing.
"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun bersama tujuh penumpang dipercayai warga Myanmar, iaitu lima lelaki dan dua perempuan berusia antara 17 hingga 39 tahun.










