Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Datuk Ziana Zain, 58, masih mengekalkan bayaran berpatutan untuk membuat persembahan seiring pengalaman dimiliki selain mengambil kira peningkatan kos semasa.

Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan penganjur, namun mengesahkan bayaran bukan harga 'kayangan'.

"Saya masih mengekalkan harga relevan untuk persembahan saya yang bersesuaian dengan zaman sekarang dan pengalaman kita. Gelaran (Datuk) itu adalah satu penghargaan.

"Ia (gelaran) sesuatu yang berbeza dan menyanyi pula perkara lain. Jadi, urusan sebut harga masih macam biasa merangkumi sama ada hendak saya nyanyikan dua, tiga, empat atau lima lagu, termasuk nak dengan band, tanpa band atau minus one.