KOTA KINABALU – Pertandingan Nyanyian Borneo 2026 menjadi platform memartabatkan warisan seni suara dan budaya masyarakat etnik Sabah dan Sarawak menerusi penghayatan lagu tradisional serta bahasa ibunda.

Program anjuran GRISM EVENTS & CO yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 November lalu di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, turut memberi peluang kepada bakat tempatan mengetengahkan kebolehan dalam bidang seni persembahan.

Penganjuran tersebut bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya menjadi usaha memelihara khazanah muzik tradisional masyarakat Borneo agar terus dihargai dan diwarisi generasi muda.

Menerusi pertandingan itu, peserta berpeluang mempersembahkan lagu-lagu yang mencerminkan identiti, keunikan bahasa serta kepelbagaian budaya masyarakat Sabah dan Sarawak.