Kuala Lumpur: Pihak berkuasa merampas 64,100 liter diesel bernilai RM439,085 dipercayai diseleweng, dan empat individu termasuk seorang warga asing ditahan dalam serbuan di premis perindustrian di Kedah, kelmarin.
Serbuan sekitar jam 11.30 malam itu dilaksanakan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.
Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata individu yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, pekerja dan pemilik premis.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada rampasan pelbagai peralatan serta kenderaan dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan diesel.









