Kuala Lumpur: Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) bersedia menjadi gelanggang saingan Zon Tengah-Selatan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 hujung minggu ini meskipun terpaksa mengambil alih tugas sebagai venue bidan terjun selepas lokasi asal di Kompleks Sukan Negeri Paroi, Negeri Sembilan ditunda akibat jerebu bulan lalu.
Bagaimanapun, perubahan lokasi itu tidak menjadi masalah besar buat pihak UPM yang mempunyai pengalaman mengendalikan pelbagai kejohanan sukan termasuk sepak takraw di peringkat kebangsaan.
Pegawai Tadbir Bahagian Belia dan Sukan UPM, Muhammad Bazli Kamaruddin berkata, pihaknya sudah bersedia menerima kehadiran pasukan bertanding serta penyokong yang mahu menyaksikan aksi kejohanan berkenaan.








