Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan anak lelaki kepada mendiang waris perempuan Genting Lim Siew Kim untuk menyingkirkan dua pentadbir sementara yang menguruskan harta pusaka bernilai RM1.6 bilion.
Hakim Datuk Mahazan Mat Taib menolak permohonan Marcus Chan Jau Chwen terhadap peguam Datuk S. Satharuban dan Khoo Siew Kiat, serta memerintahkan beliau membayar kos RM30,000 kepada kedua-dua pentadbir itu.
Mahkamah juga membatalkan injunksi sementara yang menghalang mereka daripada bertindak sebagai pentadbir harta pusaka itu sekali gus membenarkan mereka menyambung semula tugas masing-masing di bawah pengawasan mahkamah.
Semasa prosiding, hakim berkata Marcus gagal membuktikan wujudnya salah laku, pelanggaran tugas yang berterusan, konflik kepentingan yang mewajarkan penyingkiran, atau keadaan lain yang cukup serius sehingga menjustifikasikan penyingkiran mereka.









