Shah Alam: UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan Toyota Yaris 2027 dengan penampilan lebih sporty, teknologi dipertingkatkan serta tambahan ciri keselamatan bagi memastikan model hatchback segmen-B itu kekal kompetitif dalam pasaran.

Model berkenaan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E AT dan 1.5G AT, dengan kedua-duanya mengekalkan enjin 1.5 liter serta ciri utama dari aspek prestasi, keselamatan dan teknologi.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, Yaris kekal sebagai model penting dalam barisan kenderaan segmen-B Toyota dan versi terbaharu itu dirancang bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

"Pembaharuan ini membawa reka bentuk lebih sporty, teknologi dan ciri keselamatan tambahan, sambil mengekalkan kepraktisan serta kebolehpercayaan yang dijangka pelanggan daripada Toyota," katanya.