PETALING JAYA: Proton memperkenalkan nama rasmi sedan versi dipertingkatkan terbaharunya, Proton S70 RS 2027, sekali gus membawa identiti lebih sporty menerusi penampilan reka bentuk baharu dan penambahbaikan ciri terpilih.

Pengenalan model berkenaan yang membawa maksud Refined Sportiness mencerminkan evolusi karakter sporty S70 menerusi reka bentuk lebih agresif, ruang kabin lebih menarik serta penambahbaikan dinamik pemanduan.

Model berkenaan dibangunkan berteraskan tema Performance with Style dengan mengekalkan DNA sporty S70 sedia ada, selain menawarkan penampilan lebih menonjol dalam segmen sedan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, S70 RS 2027 merupakan langkah seterusnya dalam memperkukuh kedudukan model itu sebagai sedan sporty pilihan rakyat Malaysia.