GAHARU pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan warisan masyarakat Melayu. Teras beraroma daripada pokok karas ini dikaitkan dengan pelbagai aspek kehidupan, termasuk wangian di istana, amalan tradisi, upacara kerohanian dan perubatan tradisional.Namun, sejauh manakah generasi hari ini mengenali gaharu? Bukan sahaja generasi X, Y dan Z, malah sebahagian generasi Baby Boomer juga mungkin tidak lagi memahami hubungan sejarah, budaya dan ekonomi antara gaharu dengan masyarakat Melayu.Lebih menarik, ramai mengenali istilah gaharu tetapi tidak memahami asal usulnya. Gaharu bukan nama pokok, sebaliknya bahan aromatik yang terbentuk apabila pokok karas menghasilkan dan mengumpulkan resin sebagai tindak balas terhadap kecederaan atau rangsangan tertentu. Resin inilah yang memberikan nilai istimewa kepada gaharu.Hakikatnya, gaharu bukan sekadar hasil hutan atau bahan pewangi. Ia pernah menjadi komoditi perdagangan bernilai tinggi dan sebahagian daripada warisan masyarakat di Nusantara.Sejarah perdagangan Melaka, yang menghubungkan pedagang dari China, India dan dunia Arab, membuka ruang untuk meneliti kedudukan gaharu dalam jaringan perdagangan serantau pada masa itu.Kunjungan penulis ke Daerah Dianbai di Kota Maoming, China, baru-baru ini turut membuka perspektif tentang bagaimana negara itu memelihara warisan dan membangunkan industri gaharu.Di Muzium Kebudayaan Gaharu Dianbai, penulis menemukan bahan pameran yang dikaitkan dengan sejarah perdagangan gaharu termasuk sebuah ukiran daripada resin aromatik berukuran 46 x 56 x 102 sentimeter yang dibawa dari Malaysia 300 tahun lalu.Terdapat juga kisah sejarah yang mengaitkan perdagangan gaharu antara Nusantara dengan China, termasuk pada zaman pelayaran Laksamana Cheng Ho.Hubungan sejarah sedemikian wajar dikaji dan didokumentasikan dengan lebih mendalam agar sumbangan Nusantara, termasuk Melaka, dapat difahami berdasarkan bukti yang kukuh.Atas sebab itu, gaharu perlu dibawa kembali ke tengah-tengah masyarakat Melayu. Pengetahuan mengenai sejarah, kegunaan dan nilai ekonominya perlu dipulihkan supaya generasi hari ini memahami betapa rapatnya komoditi tersebut dengan kehidupan masyarakat Melayu terdahulu.Cuba kita renungkan pepatah Melayu, "Sudah gaharu, cendana pula. Sudah tahu, bertanya pula." Pepatah ini memperlihatkan bagaimana gaharu dan cendana telah lama hadir dalam perbendaharaan bahasa serta pemikiran masyarakat Melayu. Di sebalik kiasan dan sindirannya, tersimpan nilai pendidikan yang wajar terus diwariskan.Namun, mengangkat semula gaharu tidak seharusnya terhenti pada usaha mengenang sejarah. Ia juga perlu dilihat sebagai peluang membangunkan ekonomi masyarakat, khususnya Bumiputera di luar bandar.Dalam konteks ini, penanaman karas dan pembangunan produk berasaskan hibrid MyKynam membuka ruang untuk meneroka industri bernilai tinggi. Potensi tersebut merangkumi pengeluaran kayu gaharu, cip kayu, pati minyak, minyak wangi dan produk aromaterapi.Bagaimanapun, potensi komersialnya perlu diso