PETALING JAYA: Semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibenarkan menggunakan senjata api bagi mempertahankan diri atau melindungi orang lain sekiranya berhadapan ancaman munasabah terhadap nyawa atau risiko kecederaan parah.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, anggota polis boleh mengambil tindakan segera yang munasabah apabila berdepan situasi berbahaya yang mengancam nyawa secara serta-merta.

Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan senjata api perlu tertakluk kepada peruntukan undang-undang, garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, setiap tindakan menggunakan kekerasan hendaklah berlandaskan prinsip keperluan dan kewajaran serta sepadan dengan tahap ancaman yang dihadapi.