Kuala Lumpur: Sebanyak 24 regu menghangatkan saingan Zon Tengah-Selatan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 yang membuka gelanggang di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), esok dan Ahad ini.
Pengarah Kanan Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan hasil kerjasama UPM, Harian Metro dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi memastikan kejohanan berlangsung lancar.
Menurutnya, segala persiapan awal sudah dilengkapkan termasuk penyediaan persekitaran pertandingan yang selesa untuk menampung penyertaan 24 regu yang akan mendaftar pagi esok.
Beliau berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya platform penting untuk pemain muda mempamerkan bakat sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi, termasuk mewakili negara.









